Oct 30, 2009

Kes saman bapa Nurin dibicarakan di mahkamah tinggi

KUALA LUMPUR: Kes saman kecuaian yang difailkan oleh Jazimin Abdul Jalil, bapa kepada Nurin Jazlin kanak-kanak yang diculik dan dibunuh dua tahun lalu, berhubung penyebaran gambar bedah siasat anaknya melalui Internet, mesti ditentukan menerusi perbicaraan penuh, Mahkamah Tinggi memutuskan hari ini.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datin Zabariah Mohd Yusof menolak permohonan Jazimin untuk penghakiman ringkas mengikut Aturan 14A Kaedah-kaedah Mahkamah Tinggi 1980.Zabariah membuat keputusan itu dalam kamar selepas selesai mendengar hujah daripada peguam Jazimin, Akbardin Abdul Kader, dan Peguam Kanan Persekutuan Noorin Badaruddin.

Beliau menerima hujah Noorin yang menyatakan kes itu tidak sesuai untuk
diberi penghakiman terus.Jazimin memohon penghakiman terus dengan alasan pihak polis telah mengaku dalam pernyataan pembelaan bahawa pihaknya membawa keluar gambar bedah siasat itu.

Mahkamah menetapkan 17 Disember ini untuk pengurusan kes berhubung permohonan itu termasuk permohonan pihak polis untuk membatalkan saman berkenaan.

Akbardin memberitahu pemberita beliau akan memanggil tiga atau empat saksi
daripada ahli keluarga dan saudara Nurin untuk memberi keterangan.
Pada 21 Ogos 2008, Jazimin pekerja di syarikat keselamatan, menyaman Ketua
Polis Negara, Ketua Polis Selangor, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya dan
Kerajaan Malaysia kerana didakwa cuai menyebabkan gambar itu tersebar di
Internet.

Dalam pernyataan tuntutannya, Jazimin berkata penyebaran gambar bedah siasat itu memalukan keluarganya dan mengganggu emosi mereka.
Dalam saman kecuaian itu, Jazimin tidak menyatakan jumlah ganti rugi tetapi
memohon ganti rugi am, ganti rugi teladan, ganti rugi melampau, faedah terhadap ganti rugi am, kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Nurin, 8 tahun, ditemui mati selepas 27 hari dilaporkan hilang pada
20 Ogos 2007, ketika keluar bersendirian ke pasar malam berhampiran rumahnya di Seksyen 1, Wangsa Maju.Mayat pelajar tahun dua Sekolah Rendah Kebangsaan Desa Setapak itu ditemui dalam sebuah beg pakaian sukan yang diletakkan di hadapan premis perniagaan di Petaling Jaya dan hasil bedah siasat mendapati Nurin juga didera secara seksual.-Bernama

No comments:

Post a Comment